KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,000 aiskrim tajaan Fruiti King pelbagai perisa akan diberikan secara percuma kepada pengunjung terawal yang hadir pada Rentap Rusia 2018 Kosmo! yang diadakan di Restoran Hakim, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada Ahad ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Fruiti King, Max Teh berkata, pengunjung akan diberi kupon yang diedarkan dan boleh menebusnya di kios Fruiti King yang disediakan di Restoran Hakim nanti.
Pengunjung bakal menikmati satu cedok aiskrim dan aiskrim potong serta menerima baucer Fruiti King bernilai RM5 yang boleh ditebus di mana-mana cawangan Fruiti King sekitar Lembah Klang seperti Sunway Pyramid, gateway@KLIA2 dan Lot10 Hutong.
“Lebih menarik, kami menyediakan pelbagai perisa aiskrim termasuk Durian Musang King, Durian D24, Cempedak, Mangga dan jagung manis,” katanya di sini semalam.
Tambahnya, Fruiti King merupakan aiskrim yang tidak menggunakan bahan pengawet, pewarna dan perisa tiruan, sebaliknya menggunakan buah-buahan asli bagi memastikan kualiti terbaik diberikan kepada pengguna.
“Saya yakin mereka akan merasai keenakan rasa buah sebenar dan berpuas hati selepas merasai sendiri keaslian buah-buahan tropika dalam setiap cedok aiskrim kami,” ujarnya.
Dijangkakan kira-kira 3,000 peminat bola sepak membanjiri Restoran Hakim bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2018 yang disiarkan menerusi dua skrin LED gergasi, lima projektor besar dan lima buah televisyen.
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti cabutan bertuah, permainan teka balang, pertandingan bola sepak PS4, fusbal, permainan sepak dan gol serta bankyak lagi.
Source: http://www.kosmo.com.my/negara/ais-krim-fruiti-king-percuma-sempena-rentap-rusia-kosmo-2018-1.708204